" RASAI KELAINAN BERSAMA STEFANI............ "

TEATER PUISI

“…Aku seharusnya berada di tengah kawan-kawan ..atau berbicara dengan diplomat, profesor atau peguam…”

Selepas kejayaan Dari Bintang ke Bintang (karya Usman Awang ) dan Perjalanan Bu Aminah (karya WS Rendra), dengan genre yang sama Stefani di bawah arahan Fauziah Nawi akan mementaskan teater terbaru bertajuk Topeng- Topeng.

Tajuk teater Topeng-Topeng dipilih dari salah satu puisi Dato’ Baha Zain yang telah memenangi Hadiah Sastera Kebangsaan (1971) di mana isi dan maksud puisi ini dijadikan tema skrip. Puisi -puisi beliau yang lain dipilih untuk menyokong dan membantu perkembangan tema dan plot teater ini. Pertama kali karya Dato’ Baha Zain akan dipersembahkan dalam bentuk teater Malaysia moden.

PENULIS - BAHA ZAIN

“In Malaysia I think the achievements of A. Latiff Mohidin and Baha Zain are second to none” kata Sasterawan Negara Muhammad Haji Salleh,-Dipetik dari On a Journey Homeward: An Interview with Mohamad Hj Salleh terbitan Universiti Islam Antarabangsa


Menerima pendidikan awal di Anglo Chinese School Telok Intan, menyambung pelajaran di Fakulti Sastera UM serta menamatkan Ijazah sarjana di Universiti Gajah Mada Indonesia, beliau adalah Penerima Kedua Anugerah Sea Award pada tahun 1980 selepas SN A Samad Said. Baha Zain bersama Latif Mohidin adalah pengasas ASAS 60. Pernah bertugas di Dewan Bahasa dan Pustaka dan juga terlibat di dalam penerbitan majalah ilmiah seperti Majalah Era.

Kini Dato Baha adalah Timbalan Presiden Persatuan penulis Nasional, sebuah pertubuhan yang aktif mengembangkan dan melatih penulis muda serta melaksanakan program appresiasi seni melalui majlis membaca puisi bulanan yang sudah berlangsung hampir sepuluh tahun. Antara puisi Baha Zain yang paling terkenal ialah 'menangguh kebenaran' dan 'topeng-topeng' yang dijadikan tema untuk skrip ini.


Dato Baha terkenal dengan puisi-puisi yang berbahasa indah tetapi mudah untuk difahami oleh semua golongan. Puisi-puisinya walaupun ditulis di tahun enampuluhan dan tujuhpuluhan melahirkan pelbagaian rasa dan emosi ke arah mencari keseimbangan sikap (positive attitude) di dalam kehidupan.